Pasukan Bola Sepak UPSI telah memulakan sesi latihan sebagai persediaan untuk menghadapi Karnival Liga IPT yang dijangka akan bermula pada awal bulan Februari 2012. Sesi latihan pada peringkat yang pertama ini adalah bertujuan untuk memilih pemain-pemain yang berbakat untuk diserapkan ke dalam Pasukan Bola Sepak UPSI. Sesi pemilihan yang bermula pada 3 Januari sehingga 12 Januari itu melibatkan 6 sesi latihan dan juga 3 perlawanan persahabatan. Sepanjang sesi pemilihan tersebut, Coach Hazril dan juga Coach Nazrul telah menilai pemain berdasarkan prestasi yang ditunjukkan semasa sesi latihan dan juga semasa perlawanan persahabatan. Perlawanan persahabatan yang pertama ialah perlawanan menentang Politeknik Melaka. Perlawanan tersebut telah diadakan pada 7 januari 2012 (Sabtu) bertempat di Padang UPSI. Perlawanan yang bermula pada pukul 5.00 petang itu telah menyaksikan Pasukan Bola Sepak UPSI telah berjaya mengatasi pasukan Politeknik Melaka 5-0.
Perlawanan persahabatan yang kedua pula telah diadakan selang sehari selepas perlawanan yang pertama, iaitu pada 9 Januari 2012 (Isnin) menentang Trolak FC bertempat di Padang UPSI. Perlawanan yang telah diadakan pada waktu malam itu menyaksikan Pasukan Bola Sepak UPSI sekali lagi berjaya mencatat kemenangan dengan membenam pasukan Trolak FC dengan keputusan 2-0. Walaupun Pasukan Bola Sepak UPSI berjaya memenangi dua perlawanan berturut-turut, namun menurut Coach Hazril dan Coach Nazrul, masih banyak kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi pasukan ini.
Perlawanan persahabatan yang ketiga menyaksikan Pasukan Bola Sepak UPSI bertemu dengan pasukan Perak Reserve bertempat di Padang UPSI. Perlawanan tersebut telah diadakan selang sehari (11 januari 2012 – Rabu) selepas Pasukan Bola Sepak UPSI mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan Trolak FC. Perlawanan yang telah diadakan pada waktu malam itu menyaksikan Pasukan Bola Sepak UPSI tewas 3-0 di tempat sendiri. Walaupun tewas, namun, para pemain Pasukan Bola Sepak UPSI telah mendapat banyak pengajaran dan pengalaman daripada perlawanan tersebut. Dengan berakhirnya perlawanan persahabatan menentang Perak Reserve ini, maka berakhirlah sesi pemilihan bagi Pasukan Bola Sepak UPSI. Senarai 25 orang pemain yang terpilih telah diumumkan sehari selepas perlawanan persahabatan tersebut. Peringkat kedua sesi latihan akan diteruskan lagi dengan 4 lagi perlawanan persahabatan yang bakal menanti Pasukan Bola Sepak UPSI iaitu perlawanan menentang :
- MBSA di Stadium Mini Shah Alam - 14 Januari 2012
- UiTM Shah Alam di Stadium UiTM Shah Alam - 16 Januari 2012
- Politeknik Ungku Omar di Padang Politeknik Ungku Omar Ipoh – 18 Januari 2012
- Sekolah Sukan Bukit Jalil di Padang Turf Bukit Jalil – 20 Januari 2012
Nantikan ulasan dan keputusan perlawanan persahabatan tersebut serta perkembangan semasa Pasukan Bola Sepak UPSI di dalam blog ini. Sekian dan terima kasih.
No comments:
Post a Comment