Friday 20 January 2012

Peringkat Kedua Sesi Latihan dan Perlawanan Persahabatan Pasukan Bola Sepak UPSI

Peringkat kedua sesi latihan bagi Pasukan Bola Sepak UPSI dimulakan dengan perlawanan persahabatan menentang MBSA FC. Perlawanan yang telah diadakan di Stadium Mini Shah Alam pada 14 Januari 2012 (Sabtu), pukul 5.30 petang itu menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar seri tanpa jaringan. Ini adalah perlawanan pertama yang melibatkan 25 orang pemain yang terpilih untuk membawa nama Pasukan Bola Sepak UPSI ke Karnival Liga IPT nanti. Oleh itu, perlawanan persahabatan ini dan juga perlawanan persahabatan yang seterusnya dianggap sebagai perlawanan persediaan bagi para pemain untuk mengharungi Karnival Liga IPT yang dijangka akan bermula pada penghujung  bulan Februari nanti. Perlawanan ini juga menjadi medan untuk Coach Hazril dan Coach Nazrul untuk mencari ramuan terbaik bagi pasukan ini.

Seterusnya, pada 16 Januari 2012 (Isnin), Pasukan Bola Sepak UPSI telah bertandang ke UiTM Shah Alam. Perlawanan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu telah menyaksikan Pasukan Bola Sepak UPSI tewas 3-0 kepada pasukan UiTM Shah Alam  di Stadium UiTM Shah Alam. Walaupun Pasukan Bola Sepak UPSI melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu pertahanan lawan, namun nasib  tidak memihak kepada para pemain Pasukan Bola Sepak UPSI kerana tidak mampu untuk menembusi benteng pertahanan pasukan UiTM Shah Alam yang dilihat begitu kebal. Walaupun tewas, namun para pemain mendapat banyak pengalaman daripada perlawanan tersebut terutamanya apabila jurulatih pasukan UiTM telah meluangkan sedikit masa untuk memberikan sedikit komen yang membina mengenai mutu permainan yang telah ditunjukkan oleh para pemain Pasukan Bola Sepak UPSI pada malam itu. Sebelum bertolak pulang, para pemain Pasukan Bola Sepak UPSI telah dijemput untuk menjamu selera di bilik VIP Stadium tersebut.

Selang sehari selepas perlawanan menentang pasukan UiTM Shah Alam, Pasukan Bola Sepak UPSI telah bertandang ke Ipoh. Pada perlawanan persahabatan kali ini, Pasukan Bola Sepak UPSI telah dijadualkan untuk bertemu dengan pasukan Politeknik Ungku Omar. Perlawanan yang bermula pada pukul 5.30 petang itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dalam keadaan hujan di padang Politeknik Ungku Omar. Walaupun pada awal permainan kedua-dua pasukan dilihat sukar untuk mencari rentak permainan dalam keadaan hujan, namun Pasukan Bola Sepak UPSI telah berjaya menewaskan pasukan Politeknik Ungku Omar dengan keputusan 4-1. Sebelum bertolak pulang, Pasukan Bola Sepak UPSI telah dijemput untuk menjamu selera oleh pihak Politeknik Ungku Omar.

Perlawanan persahabatan yang terakhir sebelum para pemain Pasukan Bola Sepak UPSI bercuti selama 2 minggu ialah perlawanan menentang pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Padang Turf Bukit Jalil pada 20 Januari 2012 (Jumaat). Perlawanan yang bermula pada pukul 4.45 petang itu berlangsung dalam keadaan hujan dan keputusan perlawanan tersebut menyaksikan Pasukan Bola Sepak UPSI tewas 4-2 kepada pasukan SSBJ. Bermain di atas Padang Turf ternyata telah memberikan sedikit kesukaran kepada para pemain Pasukan Bola Sepak UPSI kerana para pemain dilihat kurang selesa ketika bermain di atas padang tersebut terutamanya dari segi hantaran serta kawalan bola. Walaupun tewas kepada pasukan SSBJ, namun Coach Hazril dan Coach Nazrul telah memuji para pemain dari segi komitmen yang ditunjukkan sepanjang sesi latihan dan juga perlawanan-perlawanan persahabatan yang telah diadakan. Sebelum bertolak pulang, kedua-dua coach telah memberikan kata-kata semangat serta komen-komen mengenai prestasi keseluruhan pemain sepanjang sesi yang telah diadakan.

Berikut adalah keputusan penuh 7 perlawanan persahabatan yang telah diharungi oleh Pasukan Bola Sepak UPSI sepanjang sesi latihan dan perlawanan persahabatan :

UPSI vs Politeknik Melaka          : UPSI menang 5-0
UPSI vs Trolak FC                        : UPSI menang 2-0
UPSI vs Perak Reserve               : UPSI tewas 0-3
MBSA vs UPSI                              : Seri 0-0
UiTM Shah Alam vs UPSI            : UPSI tewas 3-0
Politeknik Ungku Omar vs UPSI  : UPSI menang 1-4
SSBJ vs UPSI                                : UPSI tewas 4-2

(3 kali MENANG, 3 kali TEWAS dan 1 kali SERI)


Stadium Mini Shah Alam - MBSA vs UPSI

Stadium UiTM Shah Alam - UiTM Shah Alam vs UPSI

Stadium UiTM Shah Alam

Padang Turf Bukit Jalil - SSBJ vs UPSI

*Gambar-gambar lain akan diupload di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment